Berita Semasa

17-06-2015
Kenaikan Elaun Perumahan 2015 Naik Daripada RM180 Kepada RM300 Untuk Gred 41 Ke Bawah!

PUTRAJAYA: Sebanyak 1.1 juta penjawat awam bakal menikmati kenaikan kadar imbuhan tetap perumahan berkuat kuasa November.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-14 di sini.

Menurut Najib, kadar baharu terendah imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM300 sebulan berbanding RM180 buat masa ini.

Penyelarasan kenaikan itu akan dibuat secara berperingkat, sehingga Gred 41.
Ia bakal melibatkan implikasi kewangan RM1.04 bilion setahun.

Selain kenaikan imbuhan tetap perumahan, Najib turut mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam Gred 54 ke bawah, bagi meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut Ramadan dan Hari Lebaran.

Bantuan khas ini turut dinikmati 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen dengan bayaran RM250. Kedua-dua pembayaran akan dibuat pada 25 Jun ini melibatkan peruntukan RM1 bilion.